Thursday, April 8, 2010

Pelajar bijak cenderung mengambil dadah sintetik?

Utusan Malaysia, Edisi Timur, 7/4/2010

KUALA TERENGGANU 6 April - Golongan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang bijak dibimbangi lebih cenderung mengambil dadah sintetik bagi tujuan memantapkan ketahanan fizikal dan mental ketika mengulangkaji pelajaran berbanding pelajar kurang bijak.

Menurut pakar motivasi terkenal, Dr. Fazley Yaakob kecenderungan tersebut jelas terbukti apabila kebanyakan pelajar dan penuntut yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah berkenaan mempunyai rekod pencapaian akademik yang cemerlang.

Katanya, kekangan masa dan tidak cukup stamina untuk mengulangkaji pelajaran menjadi faktor utama mereka mengambil dadah tersebut secara berterusan.

"Hasil kajian yang saya lakukan, pada peringkat awal pengunaan dadah tersebut bertujuan baik iaitu untuk memberikan tenaga yang lebih bagi membolehkan mereka mengulang kaji namun tanpa disedari mereka bakal menjadi penagih tegar.

"Ini berpunca daripada termakan pujukan pusher yang sering menjadikan pelajar dan penuntut IPT sebagai tumpuan mereka," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Motivasi bersamanya di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Kampus Kuala Terengganu di sini hari ini. Hadir sama ialah Koordinator Program Pengurusan Perniagaan UiTM Kampus Kuala Terengganu, Mohamad Shukri Johari. Program yang berlangsung selama tiga jam itu disertai kira-kira 1,000 pelajar universiti berkenaan.

Dr. Fazley menambah, pendedahan masyarakat terhadap dunia siber secara meluas dan tanpa had menyebabkan maklumat tentang penggunaan dadah sintetik semakin meluas di kalangan pelajar dan penuntut.
Jelasnya, pelbagai maklumat dan contoh mudah diperoleh di dalam Internet tentang penggunaan dadah sintetik itu.

"Jika dulu penggunaan dadah sintetik di kalangan pelajar dan penuntut sebagai alasan untuk memantapkan stamina ketika mengulangkaji pelajaran tidak pernah wujud.

"Namun sejak kebelakangan ini kita dapat melihat ramai di kalangan pelajar dan penuntut terjebak dengan mudah sehingga merosakkan masa depan mereka," jelasnya yang turut menafikan ia berpunca daripada institusi pendidikan luar negara.

No comments:

Post a Comment