Tuesday, October 19, 2010

SMK Pelong, UiTM jalin hubungan @ http://www.sinarharian.com.my/terengganu/content/story8279155.asp



SETIU – Eksplorasi Minda Tradisi ialah wadah terbaik menjalin hubungan antara warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Kuala Terengganu dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong, Setiu.

Pengurus program, Tengku Ahmad Syahmi Tengku Sulaiman berkata, program bermotifkan permainan tradisional itu bertujuan memperkenalkan tradisi Melayu yang kian luput ditelan zaman kepada pelajar Tingkatan Lima SMK Pelong.

Menurutnya, seramai 27 penuntut UiTM dan 85 pelajar SMK Pelong menjayakan program itu yang diadakan di sekolah tersebut.

Katanya, selain membangkitkan kembali tradisi Melayu, ia mendedahkan pelajar kepada dunia kampus dan memberi motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh.

Paling menarik, turut diselitkan slot Selangkah ke UiTM yang dikelolakan pensyarah selaku penasihat Program Eksplorasi Minda Tradisi, Syahrul Hezrin Mahmud.

Syahrul berkata, slot itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal melangkah ke alam universiti termasuk UiTM selain turut diselitkan aktiviti Senam Seni 1Malaysia yang menggabungkan tarian pelbagai kaum di negara ini.

Sementara itu, pada Latihan Dalam Kumpulan (LDK), pelajar diberi peluang beramah mesra bersama fasilitator dan penuntut UiTM Kuala Terengganu.

Antara pengisian slot itu ialah puzzle bisu, pekak badak dan kotak beracun yang mana permainan minda tersebut bertujuan mengasah minda pelajar agar kreatif dan mampu berfikir di luar kotak.

Aktiviti eksplorasi adalah kemuncak program yang mana pelajar terlibat diperkenalkan dengan permainan tradisi seperti tarik upih, teng-teng dan 'batik vs sarung'.