Tuesday, February 23, 2010

SOROTAN 2009 UiTM Kampus Kuala Terengganu

Tahun 2009 baru sahaja melabuhkan tirainya dan ianya meninggalkan pelbagai episod yang signifikan mahupun tidak. Dengan menjelmanya tahun 2010, usia kita sudah pastinya akan bertambah dari segi angkanya mahupun dari segi pengalaman yang bakal kita semua tempuhi. Dari sudut UiTMKT, 2010 menandakan usianya telah mencapai 3 tahun. Dalam tempoh 3 tahun ini sudah tentunya banyak aspek yang telah berubah sejajar dengan keperluan senario terkini arus kematangan agenda pendidikan tinggi tanahair.

Untuk melangkah ke hadapan kita juga perlu menoleh ke belakang. Tahun 2009, kita semua membuka lembaran tahun tersebut dengan Program Ramah Mesra bersama dengan Menteri Pengaiian Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin dan turut dihadiri oleh Tan Sri Dato’ Seri Prof. Ibrahim Abu Shah. Majlis ini merupakan majlis perjumpaan warga UiTMKT bersama dengan Menteri serta Naib Canselor yang diadakan pada 15 Januari 2009. Sungguh bertuah warga kampus, kerana tirai tabir tahun lalu dimulakan dengan kunjungan menteri dan pegawai tinggi UiTM. Ianya membuktikan bahawa walaupun kampus ini kecil namun ianya begitu signifikan.

UiTMKT juga pada tahun lalu, telah menganjurkan program berbentuk “Corporate Social Responsibility” CSR berskala besar yang melibatkan komunit setempat melalui penganjuran Program OPKIM: UiTM Masuk Ke Kampung Komuniti Bestari Mukim Kepong Serada pada 14 – 17 Mei 2009 yang melibatkan 80 keluarga dari 19 kampung di Mukim Kepong Serada telah berjaya diadakan.Program ini telah disertai oleh 112 siswa dan siswi UiTM Kampus Kuala Terengganu dan boleh dikatakan sebagai telah mencatat rekod yang tersendiri berdasarkan penglibatan banyak kampung dan peserta.

Di samping itu juga, sempena kedatangan Ramadhan yang mulia, satu Majlis Berbuka Puasa bersama dengan pelajar kelainan upaya dari sekolah pendidikan khas (pendengaran) telah diadakan. Program ini sedikit sebanyak telah menyemai “esprit de corp” sesama kita dan seterusnya menjadikan warga UiTMKT turut sama menyokong usaha jalinan kemasyarakatan melalui penglibatan menyumbang kepada insan yang kurang bernasib baik. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor.

Pada Jun tahun lepas juga kita telah menerima kunjungan rombongan dari UiTM International Center yang di dalam rangka lawatan ke Kampus Terengganu dan Kelantan. Rombongan ini disertai oleh staf dan siswa siswi yang majoritinya dari negara-negara Timur Tengah. Berbagai acara telah diadakan antaranya ialah Majlis Makan Malam dan Persembahan Kebudayaan yang telah menonjolkan kepelbagaian budaya di dalam banyak aspek. Rombongan juga telah di bawa untuk menikmati keindahan alam semulajadi Pulau Kapas. Ramai peserta terharu dengan aspek hospitaliti yang ditunjukkan oleh UiTMKT.

Sempena Minggu Kesedaran Kewangan Bank Negara Malaysia, UiTMKT telah terpilih sebagai venue untuk Seminar Kesedaran Kewangan yang mendapat penajaan sepenuhnya dari Bank Negara. Pelbagai agensi Bank Negara telah memberi pendedahan yang bermanfaat tentang aspek kewangan dan isu-isu semasa berkaitan. Penganjuran seminar ini telah mewujudkan satu jalinan strategik antara UiTMKT dan Agensi – Agensi Bank Negara.

Sebenarnya dalam konteks penganjuran program, program yang dianjurkan oleh UiTMKT telah berjaya membawa pelbagai impak yang positif kepada warga UiTMKT dan juga komuniti setempat. Banyak program telah dianjurkan pada tahun lepas, samada anjuran HEA, HEP, Persatuan Pelajar, Unit dan sebagainya. Secara keseluruhannya, ianya telah membawa satu anjakan yang positif dari segi imej mahupun sasaran program itu sendiri. Semoga tahun 2010, pelbagai program berimpak besar dapat dianjurkan serta dijayakan demi merealisasikan hasrat menjadikan UiTM signifikan dikalangan masyarakat.